Jumaat, 2 Disember 2011

Majlis Pelancaran Dinar Dan Dirham


18:19 "Dan demikianlah Kami bangunkan semula mereka, supaya mereka saling bertanya di antara satu sama lain. Berkatalah salah seorang di antara mereka:"Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)".Mereka menjawab: ""Kita berada (di sini) hanya sehari atau setengah hari"".Berkata (yang lain lagi): ""Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini). Lalu bangunkan salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota ,dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat, manakah makanan yang paling baik, maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut, dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seseorang pun."

Al Kahfi: ayat 19




Alhamdulillah, atas semua nikmat dan kurniaNya. Termasuk bulan Ramadhan yang agung, yang kita kini, diberikan kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengannya.

Bulan pembebasan. Melalui peningkatan 'ubudiyyah yang diatur oleh Allah menerusi Ramadhan, Allah menjanjikan pembebasan hambaNya dari api neraka, dengan terlebih dahulu membebaskan diri dari perhambaan kepada kehendak dan kuasa yang lain, termasuk hawa nafsu kita sendiri.



Hadhirin yang dihormati,

Dari kisah penghuni gua yang masyhur, yang diulangi bacaannya oleh sebahagian besar orang Islam setiap minggu dengan membaca surah yang mulia - surah Kahfi - kita boleh mengambil berbagai kesimpulan. Antaranya;

a. Kekukuhan nilai - Matawang perak adalah antara mata wang yang mampu mengharungi zaman dan nilainya kekal teguh di tengah ombak inflasi. Bukan sahaja ia tidak reput selepas pemuda ini dibangunkan ratusan tahun kemudiannya, bahkan nilainya tidak luntur selepas ribuan tahun berlalu.
Hari ini, pada awal abad ke 21 di mana kita sedang berdiri, sekeping wang perak yang begitu ringan, bernilai RM 13 hingga 15 ringgit - yang bermakna kita masih mampu dengannya membeli burger - roti - sardin - prepaid akaun - ayam atau apa sahaja yang kita ingini senilai dengannya.
b. Indeks ekonomi - Jika nilainya menjangkau zaman dan tempat, sudah tentu ia adalah antara indeks ekonomi yang mampan.
Mengapa tidak, kita bergerak menjadikan dinar dan dirham sebagai salah satu pengukur ekonomi yang utama, universal dan lebih tepat dan mudah?

c. Matawang tranksaksi - Melalui kisah wang perak penghuni gua ini, kita boleh melihat dengan jelas dua aspek wang perak -

Pertama - Medium simpanan dan pelaburan.

Nilainya bertambah mengikut masa. Bayangkan jika pemuda ini membawa wang kertas bernama Ringgit Malaysia atau dollar Amerika atau Yen Jepun - dan tertidur selama 309 tahun!

Untuk memudahkan perbandingan, jika kita mempunyai RM 100,000, dengan kadar purata inflasi 4% setahun, 10 tahun kemudian, kuasa beli RM 100,000 itu sudah berkurangan menjadi RM 67,600! Jika 15 tahun? Kuasa belinya tinggal RM 55,500! Jika 20 tahun, ia hanya tinggal RM 45,600!

Jika kadar inflasi urata adalah 8%? Selepas 20 tahun, wang RM 100,000 itu tadi hanya berkuasa beli RM 21,500!

Mengikut IMF, kadar purata inflasi di Malaysia untuk 10 tahun lalu ialah 5% dan untuk negara maju, 10%!

Dalam tempoh dua puluh tahun, kuasa beli kebayakan matawang dunia telah merosot lebih dari separuh. Jika tiga ribu tahun?

Bukan sahaja ia reput, kuasa belinya juga menyembah bumi.

Kedua - medium jual beli.

Fungsi wang perak hanya mencapai kemuncak 'kelazatan' apabila ia digunakan dalam tranksaksi harian.

Dalam kisah ini, pemuda ini di minta ke pasar dan membeli makanan yang terbaik.

Wang perak tidak kehilangan nilai kerana ia digunakan. Malah, melalui penggunaan itulah tuan punyanya mendapat nilai tambahan.


d. Kebangkitan selepas lama tertidur.

Ummat manusia termasuk ummat Islam, telah tertidur lama menerusi agenda ekonomi kumpulan tertentu yang telah menghilangkan kemerdekaan mereka menerusi penggunaan wang plastik, bukan wang sebenar. Hasilnya, majoriti ummat manusia telah dijajah oleh ekonomi riba.

Keburukan sistem riba tidak perlu dibicarakan lagi di sini. Yang lebih penting ialah sarana atau cara untuk bangkit semula. Pemuda Kahfi menunjukkan jalan kepada kita dengan wang peraknya;

bangunkan salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota, dengan membawa wang perakmu ini,

Di Bawa ke kota dan berurusanlah dengannya! Bukan sahaja untuk disimpan tetapi untuk digunakan dalam urusan seharian.

Hadhirin yang dihormati,

Majlis pada hari ini, ialah untuk membangunkan anggota-anggota masyarakat untuk pergi ke pasar-pasar dan medan perniagaan, dengan mengguna pakai wang emas yang dipanggil dinar dan adik kembarnya wang perak yang dipanggil dirham.

Pada waktu dinar Kelantan yang pertama dilancarkan lima tahun lalu, Kerajaan Negeri belum mengeluarkan dirham. Hari ini, YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia MB akan melancarkan dirham yang pertama Negeri Kelantan.

Untuk lintasan hadhirin, pada waktu dinar dilancarkan lima tahun dulu, dengan harga emas semasa sewaktu itu, nilainya adalah RM 322 bagi satu dinar. Pada 5 Ogos 2010, nilainya adalah RM 608!

Sesiapa yang belum nampak faedah dan kebaikan melabur atau menyimpan dinar dan dirham sudah tentulah amat ganjil. Mungkin kerana telah terbiasa makan daging, nasi dan sayur plastik, maka daging, beras dan sayur sebenar tidak dirasakan enak lagi.

Hari ini, dirham diterbitkan, untuk melengkapkan apa yang dipanggil oleh para ulama' - termasuk ulama; kontemporari seperti Syeikh Yusuf Qardhawi dalam bukunya Fiqhud Zakaah dan Ibn Khaldun dalam bukunya Muqaddimah - sebagai matawang syariah.

Hadhirin yang dihormati,

Dengan adanya dirham dengan nilai pecahan yang lebih kecil kepada dinar, ia kini boleh memasuki pasar sebagai alat pertukaran.

Hari ini, YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia MB juga akan menyampaikan sijil dan sticker kepada rangkaian peniaga di Kelantan dan lain-lain tempat yang telah bersedia menerima dinar dan dirham sebagai medium jual beli.

Saya mengucapkan tahniah atas sikap mereka berani meneroka perubahan. Dalam lintasan sejarah, memang dinar dan dirham adalah wang orang ramai. People's currency. Ia pilihan orang ramai. Mereka lebih berhak menentukan pilihan mereka.

Walaupun ulama'-ulama' kita menetapkan kewajipan menerbitkan dinar dan dirham adalah kewajipan kerajaan, namun kejayaan penggunaan dinar dan dirham terletak di tangan orang ramai.

Bagi melambangkan permulaan era baru penggunaan d dan d atau dinar dan dirham ini, satu papan kadar pertukaran d dan d kepada ringgit Malaysia akan dipasang di tengah pasar Besar Siti Khadijah. Pelanggan juga boleh melayari laman web rasmi Dinar Kelantan untuk mengetahui kadar pertukaran harian.

Insya Allah, akhbar Sinar Harian juga akan menyiarkan kadar pertukaran ini setiap hari dalam akhbar mereka untuk memudahkan pengguna berurusan.

Senarai peniaga yang bersedia bermuamalat dengan medium syariah mereka sendiri diharap akan terus berkembang, termasuk agensi-agensi Kerajaan seperti bayaran untuk hasil tanah, bil air, deposit pembalakan dan lain-lain deposit.

Hadhirin yang dihormati,

Sistem kewangan Islam tidak lengkap tanpa adanya dua institusi penyokong kepada medium syari'ah ini iaitu wakalah dan wadii'ah. Insya Allah kita akan melantik wakalah atau agent bagi jual beli d dan d ini diseluruh negara.

Dengan adanya rangkaian wakalah - pasar - wadii'ah ini, d dan d boleh dikembangkan lagi untuk penggunaan yang lebih besar di peringkat antara bangsa melalui pengeluaran kad elektronik berasaskan simpanan fizikal sebenar d dan d. Jika ini berlaku, kita berharap jema'ah haji kita akan menjadi pengguna d dan antrabangsa yang pertama.

Mereka bleh memasukkan simpanan d dan d di Malaysia, membawa kad elektronik d dan d mereka ke Mekah dan mengeluarkan sebahagian simpanan mengikut pilihan mereka di Mekah.

Ia kemudian, Insya Allah, boleh mengambil tempat medium tukaran universal yang digunakan secara global.

Hadhirin sekalin,

Peranan d dan d sebagai medium syari'ah tidak akan lengkap tanpa membabitkan pembayaran zakat dan zakat fitrah bagi ummat Islam.

Alhamdulillah, pada hari ini, Majlis Agama Islam Kelantan telah menempa sejarah kerana sudi menjadi pihak yang pertama pada abad ke 21, menerima pembayaran zakat dengan d dan d.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih. Izinkan juga saya mengucapkan tahniah dan terima kasih yang sama kepada Tuan Haji Hisham Tan Sri Ubaidullah yang telah sudi menjadi pembayar zakat pertama kita menggunakan dinar pada hari ini.

Semoga kedua-dua MAIK dan rakan-rakan yang secara sukarela bersama menjayakan pembayaran zakat dengan 'ain yang sebenar atau barang yang nyata atau tangible dan bukan dengan promisory note yang berilusi, dikira sebagai orang yang memulakan sunnah yang baik dan mereka mendapat pahala memulakan sunnah yang baik dan pahala orang yang mengikuti langkahan mereka sampai kiamatnya dunia ini.

Hadhirin yang dihormati,

Sudah tentu kita terhutang budi kepada banyak sekali pihak. Saya menyebut nama-nama sebahagian dari mereka dan mungkin tertinggal ramai lagi yang telah berjaya.

Kepada semua mereka, Allah jua membalas baik amalan mereka.

Akhirnya, kita harapkan langkah kita ini dikira sebagai setulusnya untuk Pencipta kita, untuk agamaNya Islam dan mencapa maksud membawa kebaikan kepada ummat manusia seluruhnya.

Sekian, wassalam dan terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan